Mohd Zulfadli (SmartZul)

Mohd Zulfadli (smartzul)

Kuala Lumpur
Mohd Zulfadli (smartzul)

Soal Jawab

Mohd Zulfadli – Trainer berpengalaman

Melatih usahawan-usahawan Internet baru bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, kemahiran melatih dan dalam masa yang sama perlu terus menambah ilmu agar tidak ketinggalan dengan ilmu-ilmu yang baru.

Mohd Zulfadli bin Suddin merupakan Trainer berpengalaman khas untuk kursus-kursus berkaitan perniagaan Internet dan pemasaran Online. Selain mengajar para pelajarnya sendiri melalui siri kursus secara online dan ebook, beliau juga dijemput sebagai penceramah dan trainer untuk program-program pelbagai pihak.

Berikut adalah soal jawab (temubual) ringkas bersama beliau.

Boleh ceritakan pengalaman saudara dalam bidang perniagaan Internet?

Saya memulakan perniagaan secara online pada tahun 2005. Pada peringkat permulaan, saya lebih banyak lakukan perkhidmatan seperti penulisan dan membina website. Kemudian saya menjual perisian sumber terbuka kerana pada masa itu, tidak semua orang mempunyai talian Internet yang laju untuk memuat turun perisian yang bersaiz besar. Jadi saya fikir, saya akan bantu download, kemudian masukkan ke dalam CD, dan poskan kepada mereka.

Saya meminati bidang perniagaan sejak tahun 1996 lagi iaitu ketika saya berada di tingkatan dua sekolah menengah. Pada masa ini saya banyak membaca dan cuba menceburi bidang perniagaan melalui pos (mail order). Namun dari 1996 hingga 1999, saya tidak mendapat apa-apa hasil, tetapi sedikit sebanyak membuatkan saya matang dan banyak tahu perkara-perkara penting tertentu.

Saya banyak membeli panduan dan kemudian pada tahun 1996, saya mendapat satu disket yang menyenaraikan cara buat duit melalui Internet. Namun saya tidak mempunyai komputer untuk membuka disket itu tetapi menyimpannya sebaik mungkin. Kemudian pada tahun 1999, saya pertama kali masuk ke kafe siber.

Apakah pengalaman pengajian saudara dan dalam bidang apakah yang tuan dalami?

Pada masa sekolah menengah, saya meminati subjek elektronik. Pada masa tingkatan dua, iaitu tahun 1996, saya adalah antara pelajar yang paling tidak sabar untuk memasuki kelas kemahiran hidup. Saya kemudian mula meminati komputer, namun halangan kewangan membataskan saya untuk menyertai kursus-kursus komputer dan apatah lagi membeli sebuah komputer sendiri.

Saya simpan keinginan itu dan pada tahun 1998 dan 1999, iaitu pada tingkatan 4 dan 5, saya mengambil subjek Rekacipta yang mana pada masa itu ia adalah salah satu subjek yang diiktiraf untuk Sijil Penilaian Menengah (SPM). Dengan subjek itu, saya boleh menggunakan komputer yang ada di kelas subjek tersebut, dan juga dapat kembali meneruskan minat saya dalam bidang elektronik dan komputer.

Selepas mendapat keputusan SPM yang baik, saya memohon melanjutkan pelajaran bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda ke beberapa buah IPTA dan IPTS, dan akhirnya saya diterima masuk ke Universiti Teknologi Malaysia Skudai Johor, iaitu bermula sesi 2000/2001, dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat. Kemasukan saya dalam bidang itu membolehkan saya meneruskan minat saya dalam bidang komputer dengan lebih serius.

Selepas tamat belajar, apakah yang saudara lakukan?

Ramai yang tidak tahu, saya pada masa pengajian bukanlah pelajar yang amat berjaya dalam akademik. Sebaliknya sepanjang tempoh pelajaran, saya mengambil peluang yang ada untuk belajar mengenai perniagaan dan Internet secara sendiri-sendiri. Contohnya saya meluangkan masa ke perpustakaan untuk membaca dan merujuk buku-buku di sana. Banyak yang telah saya pelajari dan kemudian mencubanya sendiri.

Selain daripada itu, semasa tempoh pengajian saya juga sertai kursus-kursus yang tidak ada diajar dalam pengajian yang saya ceburi, contohnya seperti kursus membina laman web, kursus komputer, kursus rangkaian komputer dan banyak lagi.

Selepas selesai tempoh pengajian di sana, saya menyewa rumah bersama rakan-rakan dan kenalan tidak jauh dari tempat pengajian. Di saat rakan-rakan lain sibuk mencari pekerjaan dan ada juga yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, saya pula sibuk memikirkan idea perniagaan yang boleh dilakukan melalui Internet.

Pada tahun 2005, saya memulakan perniagaan yang saya nyatakan sebelum ini. Pada tahun yang sama, saya memulakan sebuah blog perniagaan untuk menulis dan berkongsi tulisan berkaitan perniagaan dan pada tahun itu juga saya telah mendaftar nama domain smartusaha.com. Kemudian pada tahun 2006, saya memulakan perniagaan membina laman web perniagaan yang dilakukan bersama seorang rakan. Pada sekitar tahun 2005 dan 2006 juga, saya ada menjual produk informasi melalui kaedah “hak jualan” (resell rights), iaitu saya membeli hak jualan terhadap produk pihak lain untuk membolehkan saya menjualnya kembali.

Pada penghujung tahun 2006 itu juga, saya menyiapkan sebuah ebook yang bertajuk Pakej Kit Blogger, iaitu sebuah pakej pembelajaran membina blog. Ia mendapat sambutan yang tinggi dan sehingga ke hari ini ia masih lagi terjual. Kemudian pada tahun 2007, saya mula bergiat dalam bidang affiliate, iaitu satu kaedah menjana pendapataan secara online. Pada tahun yang sama dan seterusnya, saya mula banyak mengeluarkan ebook, sistem dan produk digital saya sendiri yang mana lebih memfokus kepada teknikal online seperti Panduan Mudah FTP, SistemEzSurvey, Sistem Download Page Protector, Teknik Mudah Affiliate, Video Kuasa FTP dan beberapa lagi.

Ada banyak lagi usaha yang saya lakukan seperti mengeluarkan produk resell rights dan private label rights. Contohnya saya menghasilkan sejumlah artikel dan menjualnya kepada mereka yang memerlukannya sama ada untuk diletak pada blog mereka, emel promosi, ebook, menjualnya kembali dan sebagainya. Selain perkhidmatan website, saya juga menyediakan perkhidmatan membina blog, troubleshoot masalah teknikal website atau blog dan pemasangan sistem affiliate. Pada tahun 2012, saya memulakan perkhidmatan web hosting provider di www.SemarakHosting.com, di mana fokus saya lebih kepada usahawan dan perniagaan yang memerlukan perkhidmatan sebegini bagi meletak website dan blog mereka agar dapat dilayari dari seluruh dunia.

Saya lakukan kesemua yang saya sebutkan sehinggalah pada masa sekarang, cuma saya tidak seaktif yang dulu kerana sekarang memfokus kepada bidang training, penerbitan dan penulisan. Sudah sampai masanya saya perturunkan kembali ilmu-ilmu dan pengalaman yang saya ada kepada orang lain yang memerlukan.

Bagaimana saudara boleh meminati bidang training?

Sebenarnya saya tidak pernah berimpian mahu menceburi bidang ‘pendidikan’ dan latihan sebegini kerana salah satu sebabnya, saya dulu pada masa belajar adalah seorang ‘ulat buku’, pendiam dan pemalu. Sudah pasti saya mahu mengelak bercakap di hadapan orang ramai. Sebab itu juga saya melakukan perniagaan Internet kerana saya hanya perlu menghadap laptop sahaja, dan tidak perlu bertemu orang.

Namun segalanya berubah apabila mentor pertama saya dalam bidang perniagaan memberikan saya beberapa peluang untuk saya bercakap di hadapan mengenai perniagaan Internet. Pada mulanya saya hanya mahu berkongsi tetapi selepas itu saya mula rasa seronok bercakap di hadapan orang ramai untuk berkongsi topik yang saya minati.

Pada tahun 2006 dan 2007, saya bersama rakan saya telah dijadikan sebagai penceramah dan trainer oleh sebuah pihak penganjur kursus. Kami dijemput secara berkala apabila setiap kali program diadakan. Selain daripada itu dan kemudiannya, saya mula dijemput memberi ceramah dan juga latihan (training) di IPT-IPT dan pelbagai organisasi, sehinggalah ke hari ini.

Apakah yang saudara lakukan bagi memastikan saudara mampu memberikan yang terbaik kepada para peserta (pelajar) kursus?

Perkara paling penting adalah saya berikan bimbingan dengan cara yang paling mudah difahami oleh pelajar. Antara cara yang saya gunakan adalah kita permudahkan penerangan dan menyatakan langkah demi langkah yang perlu dilakukan. Antara cabaran dalam melatih para pelajar kursus adalah setiap pelajar mempunyai tahap penguasaan Internet dan komputer yang berbeza.

Selain itu, setiap pelajar mempunyai tahap pemahaman yang berbeza juga mengenai perniagaan seperti ada yang pernah berniaga, ada yang pernah tidak berjaya dan ada yang langsung tidak pernah berniaga. Jadi saya sebagai trainer perlu bijak mengenal tahap setiap pelajar agar bimbingan yang diberikan menggunakan cara-cara dan penerangan yang sesuai untuk mereka.

Bagi diri saya sebagai seorang trainer, ilmu kemahiran teknikal dan perniagaan sahaja tidak cukup. Sebaliknya saya perlu mendalami lagi bidang training agar saya tahu cara betul dalam melatih agar kemahiran-kemahiran tertentu dapat dikuasai dengan baik oleh pelajar / peserta. Antara yang saya lakukan adalah saya membaca mengenai training, melihat cara orang lain melakukan training, berkenalan dan berkawan dengan trainer-trainer lain dan saya juga ada ikuti kursus-kursus Train The Trainer / Training of Trainers (TOT).

Apakah matlamat jangka panjang saudara?

Umur saya sudah 30’an. Satu peringat umur yang tidak boleh lagi saya mencuba-cuba bidang lain ataupun tidak mempunyai apa-apa impian. Walaupun pada satu ketika dulu saya tidak pernah terfikir mahu menjadi seorang trainer mahupun penceramah, tetapi bagi saya inilah jalan saya dan inilah peranan saya di dunia ini. Tidak terjadi sesuatu jika tanpa tujuannya. Jadi saya yakin, Allah telah meletakkan saya di landasan yang betul, dan inilah sumber rezeki dan kerjaya saya.

Matlamat jangka panjang saya adalah saya ingin mempunyai pusat latihan dan barisan trainer tersendiri. Saya mahu lebih serius dalam bidang pendidikan dan latihan kerana saya yakin, setiap insan yang berjaya adalah insan yang dilatih dengan baik. Untuk berjaya tidak cukup hanya membaca buku, tetapi manusia perlu dilatih. Jadi saya nampak peluang dan potensi bidang latihan adalah begitu besar dan akan ada permintaan sampai bila-bila. Selain daripada itu, saya juga mahu menulis buku sebanyak mungkin dan juga menjadi penerbit produk digital seperti ebook, audio dan video.